Wednesday, September 24, 2008

Luahan Rasa...

Hari in aku tertewas lagi.Sudah banyak kali aku tertewas kepada nafsu.Ampunilah dosa-dosaku Ya ALLAH.Walaupun sudah beberapa kali aku mengingatkan diri aku tentang dosa dan azab neraka tapi aku ambil enteng akan perkara itu.Ya ALLAH berikanlah petunjuk dan kurniakanlah keImanan dan keTaqwaan yang mendalam dalam diriku ini.Aku tahu hidup ini hanya ada 2 penamat iaitu syurga atau neraka dan tiada yang ketiga.Ya ALLAH berilah aku kekuatan untuk meneruskan hidup ini untuk memburu redhaMU.Kenapalah hati ini begitu kering dengan Iman,kenapa diri ini begitu sombong akanMu seolah-olah Engkau tidak wujud.Kurniakanlah aku kesedaran dan letakkan hijab jika aku ingin mendekati maksiat dan jauhilah aku dari maksiat kepadaMU Ya ALLAH.
Warkah ini menjadi saksi aku berjanji akan perang habis-habisan dengan syaitan dan nafsu dan warkah ini menjadi saksi aku tak akan biarkan nafsu merajai diri.
Ya ALLAH berikan aku kekuatan.

Tuesday, September 23, 2008

Ramadhan dah masuk fasa ke-3


2 fasa dalam ramadhan sudah berlalu.Fasa rahmah dan keampunan sudah berlalu.Yang tinggal hanya fasa yang terakhir iaitu pembebasan dari api neraka.Mari kita muhasabah diri kita bagaimana kita menggunakan peluang Ramadhan yang Allah telah beri pada kita.Namun masih tidak terlambat bagi seorang Insan selagi nyawa belum sampai ke keronkong untuk sedar dan berubah.

Dalam fasa ketiga inilah Allah mengurniakan kepada ummat Nabi Muhammad saw satu malam yang lebih baik dari seribu malam iaitu lailatulqadar.Ia merupakan tanda manusia dikasihi Allah.Allah membuka peluang seluas-luasnya kepada kita untuk menambah koleksi pahala pada malam yang mulia itu.

Sebuah hadis riwayat Saidatina Aisyah ra pada 10 malam terakhir Ramadhan

“Rasulullah apabila masuk 10 terakhir Ramadhan,Baginda menghidupkan malam(dengan ibadat),mengejutkan keluarga(bangun beribadat),bersungguh-sungguh(dalam beribadat) dan uzlah(mengasingkan diri) daripada isteri-isterinya”.(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jadi marilah kita rebut peluang yang masih ada dengan melipat kali gandakan amalan kita pada malam-malam terakhir ini dan marilah kita sama-sama teliti sunnah Rasulullah di saat musim bunga yang hampir meninggalkan kita.

Monday, September 22, 2008

HATI


Dalam hati manusia ada kekusutan,
tidak terurai kecuali menerima kehendak Allah

Dalam hati ada keganasan,
tidak hilang kecuali berjinak dengan Allah

Dalam hati ada kesedihan,
tidak hilang kecuali seronok mengenali Allah dan baik muamalah dengan Nya

Dalam hati ada kegelisahan,
tidak tenang damai kecuali bertemu denganNya dan lari kepadaNya

Dalam hati ada api penyesalan,
tidak padam kecuali redha dengan suruhan,larangan dan qada’Nya,serta bersabar hingga menemuinya
Dalam hati ada hajat,
tidak terbendung kecuali dengan kecintaan padaNya dan memohon kepadaNya,

sentiasa berzikir padaNya,ikhlas padaNya
Andai dunia dan seisinya diberi,tidak akan dapat membendung si Insan itu.

(Madah Ibnu Qayyum menerangkan hakikat dan sifat hati manusia-dari kitab Madarij Al-Salukin)

Tuesday, September 9, 2008

Coretan Dari Bumi Jordan

Alhamdulillah segala pujian bagi Allah yang menguasai atas segala hal di langit dan bumi.Dalam ruang yang tanpa sempadan ini tergerak ana untuk tulis sedikit berita dari Jordan.Setelah hampir 2 minggu ana di perantauan, kehidupan di sini hingga kini agak baik.Yang akan datang wallahua’lam.
Sebaik saja kami tiba di Yarmuk,Irbid kami tinggal dahulu di rumah senior sebelum dapat tinggal di penempatan tetap.Di sini terletaknya penempatan pelajar melayu yang belajar di Universiti Yarmuk dan juga Jordan University Of Science And Technology. Walaupun berlainan bidang hubungan pelajar-pelajar melayu disini amat rapat. Kadang-kadang tak dapat agak dia tu pelajar medic atau syariah.Kami tinggal di rumah transit lebih kurang 4 hari bagi membiasakan diri dulu dengan bumi Jordan dengan bantuan senior sebelum kami tinggal sendiri-sendiri.Disini ada tinggal dalam satu rumah bersama dengan 3 orang lagi.Mula-mula ana ngan 2 orang ja iaitu Luqman Zulkepli dan Rozaili(dua-dua medic).Kami dah tetapkan ahli rumah sejak dari INTEC lagi.Masa tinggal 3 orang risau la jugak sebab perlu berbelanja tinggi untuk sewa rumah.Alhamdulillah datang seorang pelajar baru Yarmuk yang sudi tinggal bersama kami(lega hati).Pelajar Yarmuk tu senior setahun dari saya di sekolah menengah.

Tinggal sini kena masak sendiri untuk jimat.Kos hidup sini tinggi.Duit 1 dinar dia pun sama ngan 4.7 ringgit.Kalau makan kat kedai habis 2 dinar kalau kat rumah sedinar pun tak sampai.Walaupun kami yang serumah tak la pandai masak sangat tapi rasa ok je.Cuba bayang first time kami masak kat sini untuk berbuka puasa(puasa ke2) dengan tak boleh nak test masakan sedap atau tak tapi time bukak puasa rasa masakan alhamdullillah ok.Tak la teruk sangat.(ada bakat jadi chef)

Pasal komunikasi di sini agak payah. Walaupun ana tau la sikit2 nak cakap ‘ammi Jordan tapi bila depa balas balik tak tau nak balas apa pulak.Tapi Insya Allah lama2 akan biasa. Bagi penduduk sini merokok dan hisap shisha tu kira biasa.Sampai ana boleh kenal bau shisha.Depa hisap merata-rata.Jalan sikit nampak orang hisap shisha.Jubah disini macam baju melayu kalau kat Malaysia iaitu sebagai adat.Jangan terkejut kalau nampak yang lelaki pakai jubah tapi isteri dia seksi.Perempuan kat sini pulak senang nak kenal mana perempuan melayu mana perempuan arab.Cara bertudung orang arab lain dari orang melayu.Kadang2 tak tau apa agama orang kat sini.Yang tak bertudung banyak gak.Dan yang paling tak boleh lupa terserempak dengan arab yang sedang minum di tepi jalan masa hari pertama Ramadhan.

Ramadhan kat sini ada la sikit beza.Pada awal ramadhan kami kena puasa agak lama.Subuh 4.45 pagi dan maghrib 7.12 malam.Tapi bila nak habis ramadhan nanti subuh kami akan lewat dan maghrib akan awal hingga pukul 6.30 ptg.Solat tarawih disini 8 rakaat tapi mengalahkan 20 rakaat kat Malaysia.Boleh kata dalam satu hari Imam akan cuba habiskan satu juzuk Al-Quran.Setiap rakaat lebih kurang 2 muka lebih.

Tentang ana nya universiti, pada 2 september yang lepas ana kena ambik imtihan kafaah iaitu entrance test ke JUST.Ada 2 ujian mula2 ujian English.Seperti diduga ana hanya lepas satu peringkat.Ana kena ambik 2 subjek English.Sapa yang lepas 2 peringkat kena ambik satu subjek English ja.Lepas tu ambik ujian computer pulak.Alhamdulillah lepas.Semua ujian dalam bentuk multiple choice question dan jawab dalam computer macam test JPJ.Habis jawab terus dapat keputusan.Insya Allah 14 hb ni ana akan baru start bergelar medic student(baru start belajar).
Ana rasa setakat ni saja post kali ini.Kalau ada berita terbaru yang menarik Insya Allah ana akan post.Akhir kalam doakan kejayaan ana sepanjang disini dan moga2 kejayaan ana dapt di salurkan kepada Islam.

Saturday, September 6, 2008

5 Perkara Untuk Kita Renung

LIMA PERKARA YANG MESTI DISEGERAKAN
Dari Hatim Al-Asom :
"Terburu-buru itu termasuk sifat syaitan, kecuali pada lima tempat , maka ia termasuk sunnah Rasulullaah saw :
1) Memebri makan tetamu, bila ia datang berkunjung.
2) Menyiapkan perkuburan mayat bila telah mati.
3) Mengahwinkan anak perempuan, bila cukup umur.
4) Membayar hutang, bilaa telah sampai masanya.
5) Bertaubat dari dosa, bila ia telah melakukannyaa.

LIMA PESANAN DARI SYAIKH AL -BALKHI
"Ambil olehmu lima perkara kemudian amalkan :
1) Sembahlah Allah sebanyak keperluanmu kepadaNya.
2) Ambil apa-apa dari dunia menurut keperluan selama umurmu didalamnya.
3) Lakukan maksiat kepada Allah, menurut kemampuanmu memikul azabNya.
4) Persiapkan bekal didunia untuk selama kamu tinggal didalam kubur.
5) Beramallah untuk syurga, menurut lamanya masa yang kamu inginkan untuk tinggal didalamnya."

HARTA BERTIMBUN BOLEH MENYEBABKAN LIMA PERKARA
Dari Sufyan Sauri : "Tiada berkumpul harta disisi seseorang pada zaman ini, melainkan timbul didalam dirinya lima perkara :
1) Panjang angan-angan.
2) Sentiasa tamak.
3) Sangat kedekut.
4) Berkurang waraknya.
5) Lupa kepada akhirat.
(IBNU HAJAR AL-ASQALANI)

Kertas Kerja Di INTEC:Pembedahan Plastik 1


Dalam mengharungi arus pemodenan, perkhidmatan perubatan turut tidak ketinggalan untuk melalui proses pembaharuan.Perkhidamatan perubatan telah berkembang semakin maju dan bilangan pusat-pusat perubatan yang menawarkan khidmat kesihatan kepada orang ramai makin bertambah samada disediakan pihak kerajaan atau swasta.

Bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,wang bukanlah menjadi ukuran bagi sesetengah pihak malahan ada yang sanggup berbelanja besar untuk keluar negara bagi mendapatkan perkhidmatan yang memuaskan sehingga wujudnya kini pelancongan kesihatan.

Namun begitu bagi umat Islam khususnya kita tidak boleh terlepas pandang tentang pandangan hukum syara’ tentang sesuatu perubatan itu seperti pembedahan plastik.
Setelah melakukan penyelidikan dengan merujuk beberapa rujukan yang boleh dipercayai,saya dapati secara umumnya para ulama’ membenarkan pembedahan plastik dilakukan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan.Pembedahan plastik boleh menjadi haram sekiranya gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam syariat.
Pembedahan plastik boleh dibahagikan kepada dua prosedur besar iaitu:
1. Pembedahan rekonstruktif
2. Pembedahan kosmetik

Pertama sekali kami akan bincangkan tentang syarat-syarat bagi sesuatu pembedahan plastik itu harus dilaksanakan.

Syarat Pertama-tujuan kesihatan
Rawatan bagi membentuk semula mana-mana anggota tubuh yang tidak normal akibat kemalangan,kecederaan atau penyakit kepada kejadian normal seperti menyambung semula tulang yang patah,merawat melecet yang teruk,merawat muka yang terbakar dan sebagainya semuanya dilakukan untuk kesihatan.Tidak syak lagi semua kes-kes ini dibenarkan syara’ bagi melakukan pembedahan yang biasanya dilakukan doktor bedah plastik.Malah dalam keadaan tertentu pembedahan jenis rekonstruktif ini mencapai tahap wajib.Sebagai contoh menjahit luka yang membahayakan dan membuang kanser kulit.Pembedahan yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk kesihatan bukan untuk kecantikan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ImamTirmizi,Rasulullah pernah menyuruh Arfajah Ibn Asa'd yang terpotong hidungnya supaya menggantikan dengan hidung emas.Hadis ini merupakan bukti bahawa pembedahan begi membentuk semula bahagian anggota badan yang tercedera atau tidak normal adalah dibenarkan dalam Islam.Begitulah juga dengan pembedahan bagi membuang parut,ia dibenarkan dalam Islam kerana ia merupakan rawatan tetapi pembedahan yang dilakukan mestilah tidak membawa mudarat lain kerana mudarat tidak boleh dihindarkan dengan membuat mudarat lain.
Sheikh `Atiyyah Saqr,bekas pengerusi Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar menyatakan bahawa:
“kecantikan dimana untuk membentuk semula bahagian anggota badan yang cacat(rosak) secara umumnya diharuskan dalam Islam selagi mana ia dilaksanakan atas alasan yang sah”.

Syarat Kedua-membetulkan anggota badan kepada fitrah
Menurut seorang pensyarah di fakulti pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia,Ahmad Dahlan Salleh yang juga penulis buku Pembedahan Plastik Menurut Islam menyatakan pembedahan plasik bagi membetulkan mulut sumbing juga dibenarkan dan tidak termasuk dalam mengubah ciptaan Allah.Hal ini kerana kejadian manusia yang normal mulutnya tidak sumbing dan dengan menjalani pembedahan,keadaan mulut yang sumbing dapat dikembalikan kepada asal kejadian iaitu tidak sumbing.
Bagi kes yang mempunyai jari lebih,dalam kitab Al-Fatawa Al-Hindiyah menegaskan bagi orang yang mempunyai lebih jari atau seumpamanya,dia dibenarkan membuangnya.

Syarat Ketiga-memulihkan keadaan yang sering terganngu atau makin mudarat
Keadaan lain yang dibenarkan syara’ untuk menjalani pembedahan plastik ialah untuk memulihkan keadaan kesihatan yang sering terganggu atau semakin mudarat.Rasulullah pernah memberitahu Saidatina A’isyah yang bermaksud:
“kamu dibenarkan membuang perkara yang tidak menyenangkan dan memudaratkan”.
Dari hadis ini dapat kita fahami kita diharuskan untuk berusaha bagi menjauhi perkara-perkara yang memudaratkan. Sebagai contoh ialah orang yang mempunyai lubang hidung yang terlalu kecil hinggakan sukar untuk bernafas,jadi pembedahan bagi membesarkan hidung adalah dibenarkan.Berdasarkan hadis ini juga pembedahan bagi membuang lemak bagi orang yang mengalami obesiti adalah dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu iaitu pembedahan merupakan satu-satunya jalan bagi mengurangkan obesiti yang mengakibatkan berbagai-bagai penyakit lain(tekanan darah tinggi,sakit jantung dan lain-lain) dan doktor yang akan melakukan pembedahan yakin pembedahan akan berjaya.

Syarat Keempat-mengatasi masalah emosi,fizikal dan psikologi
Seterusnya Islam membenarkan seseorang itu menjalani pembedahan plastik sekiranya dapat mengatasi masalah yang mengganggu emosi,fizikal dan juga psikologi.Misalnya adalah seseorang itu mempunyai hidung yang bersaiz besar dari biasa hingga orang disekelilingnya berkata tentangnya.Hal ini akan mengakibatkan seseorang itu akan mengalami masalah tekanan emosi dan psikologi.Dia dibenarkan menjalani pembedahan plastik bagi membetulkan saiz hidungnya.Perkara ini telah dinyatakan oleh Dr. Muzammil H. Siddiqi iatu bekas pengerusi Islamic Society of North America yang terjemahannya:
“Pembedahan plastik dibenarkan dalam Islam jika ia boleh membetulkan atau merawat kecacatan yang mengganggu seseorang secara fizikal,emosi atau psikologi”
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut dalam buku Al-Halal wal Haram Fil Islam:
“Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran”.
Namun begitu kita tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan pembedahan plastik dengan mengabaikan syarat-syarat lain.Sheikh Ahmad Kutty iaitu seorang pensyarah kanan di Institute of Toronto, Ontario, Canada menyatakan:
“kamu dibenarkan menjalani pembedahan hidung jika hidung kamu terlalu besar dan tidak bersaiz normal dan menyebabkan kamu mengalami trauma psikologi dan emosi.Ini dibenarkan dalam Islam tetapi pembedahan yang akan dijalankan mestilah selamat dan diperakui oleh pakar yang dipercayai dan jujur.”

Syarat Kelima-dijamin selamat oleh doktor yang thiqah
Pembedahan yang akan dilakukan mestilah dijamin selamat dan berjaya oleh pakar dalam bidang tersebut yang jujur.Doktor mestilah mengesahkan berdasarkan ilmu dan pengalamnnya sebelum ini bahawa pembedahan yang akan dilakukan akan berakhir dengan jayanya.