Saturday, September 6, 2008

Kertas Kerja Di INTEC:Pembedahan Plastik 1


Dalam mengharungi arus pemodenan, perkhidmatan perubatan turut tidak ketinggalan untuk melalui proses pembaharuan.Perkhidamatan perubatan telah berkembang semakin maju dan bilangan pusat-pusat perubatan yang menawarkan khidmat kesihatan kepada orang ramai makin bertambah samada disediakan pihak kerajaan atau swasta.

Bagi mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti,wang bukanlah menjadi ukuran bagi sesetengah pihak malahan ada yang sanggup berbelanja besar untuk keluar negara bagi mendapatkan perkhidmatan yang memuaskan sehingga wujudnya kini pelancongan kesihatan.

Namun begitu bagi umat Islam khususnya kita tidak boleh terlepas pandang tentang pandangan hukum syara’ tentang sesuatu perubatan itu seperti pembedahan plastik.
Setelah melakukan penyelidikan dengan merujuk beberapa rujukan yang boleh dipercayai,saya dapati secara umumnya para ulama’ membenarkan pembedahan plastik dilakukan sekiranya memenuhi syarat-syarat yang telah digariskan.Pembedahan plastik boleh menjadi haram sekiranya gagal memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam syariat.
Pembedahan plastik boleh dibahagikan kepada dua prosedur besar iaitu:
1. Pembedahan rekonstruktif
2. Pembedahan kosmetik

Pertama sekali kami akan bincangkan tentang syarat-syarat bagi sesuatu pembedahan plastik itu harus dilaksanakan.

Syarat Pertama-tujuan kesihatan
Rawatan bagi membentuk semula mana-mana anggota tubuh yang tidak normal akibat kemalangan,kecederaan atau penyakit kepada kejadian normal seperti menyambung semula tulang yang patah,merawat melecet yang teruk,merawat muka yang terbakar dan sebagainya semuanya dilakukan untuk kesihatan.Tidak syak lagi semua kes-kes ini dibenarkan syara’ bagi melakukan pembedahan yang biasanya dilakukan doktor bedah plastik.Malah dalam keadaan tertentu pembedahan jenis rekonstruktif ini mencapai tahap wajib.Sebagai contoh menjahit luka yang membahayakan dan membuang kanser kulit.Pembedahan yang dilakukan ini adalah bertujuan untuk kesihatan bukan untuk kecantikan.
Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh ImamTirmizi,Rasulullah pernah menyuruh Arfajah Ibn Asa'd yang terpotong hidungnya supaya menggantikan dengan hidung emas.Hadis ini merupakan bukti bahawa pembedahan begi membentuk semula bahagian anggota badan yang tercedera atau tidak normal adalah dibenarkan dalam Islam.Begitulah juga dengan pembedahan bagi membuang parut,ia dibenarkan dalam Islam kerana ia merupakan rawatan tetapi pembedahan yang dilakukan mestilah tidak membawa mudarat lain kerana mudarat tidak boleh dihindarkan dengan membuat mudarat lain.
Sheikh `Atiyyah Saqr,bekas pengerusi Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar menyatakan bahawa:
“kecantikan dimana untuk membentuk semula bahagian anggota badan yang cacat(rosak) secara umumnya diharuskan dalam Islam selagi mana ia dilaksanakan atas alasan yang sah”.

Syarat Kedua-membetulkan anggota badan kepada fitrah
Menurut seorang pensyarah di fakulti pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia,Ahmad Dahlan Salleh yang juga penulis buku Pembedahan Plastik Menurut Islam menyatakan pembedahan plasik bagi membetulkan mulut sumbing juga dibenarkan dan tidak termasuk dalam mengubah ciptaan Allah.Hal ini kerana kejadian manusia yang normal mulutnya tidak sumbing dan dengan menjalani pembedahan,keadaan mulut yang sumbing dapat dikembalikan kepada asal kejadian iaitu tidak sumbing.
Bagi kes yang mempunyai jari lebih,dalam kitab Al-Fatawa Al-Hindiyah menegaskan bagi orang yang mempunyai lebih jari atau seumpamanya,dia dibenarkan membuangnya.

Syarat Ketiga-memulihkan keadaan yang sering terganngu atau makin mudarat
Keadaan lain yang dibenarkan syara’ untuk menjalani pembedahan plastik ialah untuk memulihkan keadaan kesihatan yang sering terganggu atau semakin mudarat.Rasulullah pernah memberitahu Saidatina A’isyah yang bermaksud:
“kamu dibenarkan membuang perkara yang tidak menyenangkan dan memudaratkan”.
Dari hadis ini dapat kita fahami kita diharuskan untuk berusaha bagi menjauhi perkara-perkara yang memudaratkan. Sebagai contoh ialah orang yang mempunyai lubang hidung yang terlalu kecil hinggakan sukar untuk bernafas,jadi pembedahan bagi membesarkan hidung adalah dibenarkan.Berdasarkan hadis ini juga pembedahan bagi membuang lemak bagi orang yang mengalami obesiti adalah dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu iaitu pembedahan merupakan satu-satunya jalan bagi mengurangkan obesiti yang mengakibatkan berbagai-bagai penyakit lain(tekanan darah tinggi,sakit jantung dan lain-lain) dan doktor yang akan melakukan pembedahan yakin pembedahan akan berjaya.

Syarat Keempat-mengatasi masalah emosi,fizikal dan psikologi
Seterusnya Islam membenarkan seseorang itu menjalani pembedahan plastik sekiranya dapat mengatasi masalah yang mengganggu emosi,fizikal dan juga psikologi.Misalnya adalah seseorang itu mempunyai hidung yang bersaiz besar dari biasa hingga orang disekelilingnya berkata tentangnya.Hal ini akan mengakibatkan seseorang itu akan mengalami masalah tekanan emosi dan psikologi.Dia dibenarkan menjalani pembedahan plastik bagi membetulkan saiz hidungnya.Perkara ini telah dinyatakan oleh Dr. Muzammil H. Siddiqi iatu bekas pengerusi Islamic Society of North America yang terjemahannya:
“Pembedahan plastik dibenarkan dalam Islam jika ia boleh membetulkan atau merawat kecacatan yang mengganggu seseorang secara fizikal,emosi atau psikologi”
Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menyebut dalam buku Al-Halal wal Haram Fil Islam:
“Adapun kalau ternyata orang tersebut mempunyai cacat yang kiranya menjijikkan pandangan, misalnya kerana ada daging tambah yang boleh menimbulkan sakit jiwa dan perasaan, maka ketika itu adalah tidak berdosa orang untuk berubat selagi dengan tujuan menghilangkan kecacatan atau kesakitan yang boleh mengancam hidupnya. Kerana Allah tidak menjadikan agama buat kita ini dengan penuh kesukaran”.
Namun begitu kita tidak boleh sewenang-wenangnya melakukan pembedahan plastik dengan mengabaikan syarat-syarat lain.Sheikh Ahmad Kutty iaitu seorang pensyarah kanan di Institute of Toronto, Ontario, Canada menyatakan:
“kamu dibenarkan menjalani pembedahan hidung jika hidung kamu terlalu besar dan tidak bersaiz normal dan menyebabkan kamu mengalami trauma psikologi dan emosi.Ini dibenarkan dalam Islam tetapi pembedahan yang akan dijalankan mestilah selamat dan diperakui oleh pakar yang dipercayai dan jujur.”

Syarat Kelima-dijamin selamat oleh doktor yang thiqah
Pembedahan yang akan dilakukan mestilah dijamin selamat dan berjaya oleh pakar dalam bidang tersebut yang jujur.Doktor mestilah mengesahkan berdasarkan ilmu dan pengalamnnya sebelum ini bahawa pembedahan yang akan dilakukan akan berakhir dengan jayanya.

2 comments:

  1. salam. minta izin untuk mengambil post blog ini sebagai rujukan kertas kerja saya. i'm also an intec student. eye_rain89@yahoo.com

    ReplyDelete
  2. kpd anonymous
    ok amik la,
    kertas kerja ni rasanya tak lengkap sgt..

    ReplyDelete

komen dan pendapat amat dialu-alukan..